Sumbangan

Pengasas

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh dan salam sejahtera kepada semua.

Saya Datuk Hj Hassanuddin bin Ali, Pengerusi mengucapkan selamat datang ke Rumah Ilham.

Puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya saya diberi peluang menerajui Yayasan ini serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, keluarga serta sahabat baginda yang menjadi sumber inspirasi saya dalam menjaga dan mendidik anak-anak yatim ini.

Saya berasal dari Muar dalam keluarga yang besar dan mempunyai 11 orang adik-beradik di mana ayah dan ibu sentiasa memberi kami cukup kasih sayang dan didikan yang sempurna sama ada akademik mahupun agama.

Tambahan pula, Johor memang dikenali sebagai sebuah negeri yang memberi keutamaan dari segi pendidikan agama.

Oleh kerana itu juga menguatkan azam saya untuk menjadi seorang yang berjaya dalam hidup sama ada di dunia lebih-lebih lagi akhirat. Alhamdulillah berkat ketekunan dan kesungguhan serta izin Allah SWT, saya berjaya dalam pelajaran serta kerjaya yang saya ceburi.

Setelah bersara, saya menjalankan perniagaan sendiri. Tetapi hati saya masih terasa ada kekurangan dan dari itu timbullah ilham untuk menubuhkan rumah anak-anak yatim. Dengan sokongan dan pertolongan beberapa orang rakan, saya menubuhkan Rumah Ilham ini dengan tujuan membela anak-anak yatim. Saya mahu anak-anak yatim ini dididik sepertimana ibu bapa mendidik anak-anak mereka di rumah iaitu bukan saja memberi perlindungan (tempat tinggal) dan makan pakai sahaja tetapi didikan agama dan akhlak juga diutamakan. Di samping itu pelajaran akademik juga sangat dititikberatkan supaya mereka boleh berjaya dan berkerjaya kelak. Sebab itu saya sanggup mencari sumber kewangan supaya mereka mendapat pelajaran yang lebih baik dengan mengupah guru-guru tuisyen bagi mengajar mereka. Begitu juga saya tidak malu meminta sumbangan daripada orang ramai bagi melengkapkan kemudahan-kemudahan di Asrama ini bagi keselesaan anak-anak kami ini.

Alhamdulillah sekarang ini masyarakat kita telah pun sedar dengan perlunya kemudahan yang selesa untuk anak-anak yatim sama ada bilik asrama, dewan makan, bilik rehat, bilik prep dan sebagainya untuk suasana mereka belajar dan membesar dengan baik dan sempurna. Saya juga sangat teliti tentang kebersihan kawasan dan juga kekemasan anak-anak itu sendiri. Oleh itu anak-anak kami diterapkan dengan disiplin diri dan juga cara berinteraksi dengan orang ramai. Harapan saya supaya anak-anak yatim kami bukan sahaja boleh berdikari tetapi juga berjaya dengan cemerlang dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Akhirnya sebagai sebuah badan persendirian dan kami tidak mendapat pembiayaan tetap dari mana-mana pihak, merayu dan memohon sumbangan ikhlas tuan, puan untuk saya teruskan jihad saya demi kepentingan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik ini.

Sekian dari saya,
sign-ha3